Diasaskan oleh Tuan Haji Paharudin Bin Mat Yatim berbekalkan modal sebanyak RM2000.00 pada tahun 1978. Beliau membuka bengkel perabot secara kecil-kecilan di tepi rumah yang beralamat F-1 Kampung Melayu Langkap, Perak. Hasil gigih beliau, bengkel perabot yang diusahakan semakin berkembang maju.
Enam bulan selepas membuka bengkel, beliau telah mendaftar perniagaan tersebut atas nama Perabot Paharudin dan pada tahun yang sama juga membuka sebuah kedai Perabot bersebelahan dengan bengkel tersebut. Dua tahun kemudian, beliau berjaya mendaftarkan perniagaannya dengan Kementerian Kewangan dalam bidang pembekalan perabot dan alat kelengkapan.
Pada tahun 1981, sebuah bengkel yang lebih besar telah didirikan di belakang rumah beliau untuk menampung permintaan dari pelanggan yang semakin bertambah. Pada awal tahun 1989, beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat sdn. bhd.
Pada 1997, syarikat ini mengorak langkah yang lebih panjang dengan mendirikan sebuah kilang baru yang lebih moden bersebelahan kilang yang sedia ada. Pada 14 Ogos 2006, syarikat ini telah melebarkan lagi bidang perniagaan dan menukar nama kepada Paharudin Industries Sdn. Bhd.